Adakah masyarakat hari ini menyedari atau tidak dengan fenomena keruntuhan akhlak dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar atau dalam kebingungan memikirkan jalan penyelesaiannya. Pelbagai persoalan ditimbulkan. Apakah pihak sekolah selaku institusi pendidikan gagal menangani masalah ini? Bagaimanakah pula peranan ibu bapa dan keluarga atau kesilapan ini berpunca daripada masyarakat hari ini yang diibaratkan bak pepatah Melayu menyatakan 'jangan jaga tepi kain orang lain atau umpama enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing?’
Segala persoalan akan terjawab dengan mengkaji dan menilai kembali pengertian sebenar konsep pendidikan,tujuan dan peranannya terhadap pembangunan insan dalam sesebuah masyarakat dan negara. Di samping itu, institusi keluarga dan masyarakat perlulah peka terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Tanpa menuding jari ke arah mana-mana pihak,semua patut sedar dan insaf betapa kemerosotan disiplin ini sintem ada kesilapan pada bahagian tertentu pendidikan secara formal atau tidak formal. Pihak ibu bapa seharusnya tidak menyalahkan pihak sekolah dan pihak sekolah pula tidak menuding jari fenomina ini berlaku disebabkan kesilapan ibu bapa. Setiap insan sepatutnya mengambil tanggungjawab dalam membendung gejala ini tanpa memilih bulu.
Semasa di sekolah guru-guru perlulah melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh minat dan keperibadian yang luhur untuk memastikan kejayaan proses pendidikan. Guru-guru janganlah sambil lewa dalam proses pendidikan ini. Murid-murid sukar menerima ilmu dan mencontohi guru yang tidak serius,apatah lagi yang boleh dipertikaikan peribadi dan akhlaknya walaupun dalam perkara yang dianggap remeh temeh,seperti menghisap rokok dan lambat masuk ke kelas untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.
Dalam konteks yang tidak formal pula ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak mereka. Bayangkanlah konflik jiwa anak-anak jika ibu bapa setiap hari menghantar anak-anak ke kelas fardu ain tetapi tanpa disedari anak yang tajam pemerhatiannya menyaksikan ibu bapanya sendiri tidak pernah mengerjakan solat. Selain itu ibu bapa tidak pernah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak baik dari segi perbuatan,pakaian mahupun dari segi pertuturan. Fikirkanlah wahai ibu bapa sekalian, anak-anak ibarat kain putih jika kita tidak mencorakkan dengan cantik begitulah keadaannya yang berlaku.
Sistem pendidikan di sekolah tidak boleh dipersalahkan 100% dalam permasalahan ini. Banyak sifat negatif berakar umbi daripada pendidikan dalam keluarga, terutamanya keluarga yang porak peranda dengan seribu satu masalah turut sebagai penyumbangnya. Kegagalan seperti ini perlu dibedah siasat supaya barah ini tidak terus merebak dan menjadi bertambah serius.
Selain itu, faktor segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak juga menyebabkan masalah ini semakin membarah. Ibu bapa yang terlalu menatang anaknya bagai minyak yang penuh menyebabkan guru-guru sukar untuk membentuknya. Sekiranya guru memukul anak-anak mereka, ibu bapa terus datang ke sekolah dan menyalahkan guru tanpa diusul periksa. Fenomena ini menyebabkan guru-guru takut untuk menegur atau mendisiplinkan pelajar kerana bimbang ibu bapa akan datang menyerangnya di sekolah.
Jika berlaku keadaan yang sedemikian siapakah lagi yang patut dipersalahkan ? Barah ini yang hanya menunggu masa sahaja untuk perlulah dibedah siasat dengan segera berdasarkan pertimbangan terhadap pelbagai faktor seperti keperibadian guru,kesahihan sistem pendidikan,ibu bapa dan keprihatinan masyarakat. Penilaian yang sahih dan saksama dengan mengenepikan unsur sentimen dan prejudis bakal membuka ruang ke arah penyelesaian yang lebih mantap.
Keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa masalah disiplin pelajar adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, semua pihak harus menghentikan pertikaian siapakah yang bertanggungjawab. Sebaliknya mereka mesti tepuk dada tanya iman, adakah mereka telah menunaikan kewajipan dengan sepenuh hati mengikut kehendak agama, ataupun sekadar memenuhi tuntutan hidup semata-mata?
No comments:
Post a Comment